Sunday, November 22, 2009

Intai diri



RAYUAN HAMBA :

Ku rebahkan keakuan yang terpaksi
Meredakan kekalutan dalam diri
Tuhan ganjarkan upaya
Untukku menyusuri jalanMu
Agar tak tersasar haluan kiblatku


Oh Tuhan
Ku dambakan kasih Mu
Rahmatilah hidupku
Hamparkan cintaMu buatku,


Oh Tuhan
Ku rindukan sayang Mu
Redhailah diriku
Di situ letaknya syurgaku,


Oh Tuhan
Hanya Dikau tempatku mengadu
Dengarkanlah sendu rayuku
Tiada aku tanpaMu oh Tuhan
Berkati hidupku di dunia dan akhirat

Siapalah diriku
Dihadapan KudratMu
Insan yang tidak berdaya


Oh Tuhan

Ku pohonkan dari Mu
Perkenankan doaku
Ampunilah dosa hambaMu
oh Tuhan

Hingga sampai waktuku berundur
Kesaksian tetap dijunjung
Hidup mati kernaMu oh Tuhan
Limpahan maghfirah yang amat ku harapkan

nukilan, lirik lagu- firdaus



BINGKISAN HATIKU:


Ya Allah..

Janganlah engkau bebankanku dengan bebanan yang berat,

Yang aku tidak ada upaya untukku menangungnya,

Ya Allah..

Berikanlah aku kekuatan,dalam menempuh segalanya,

Ya Allah..

Aku sandarkan segala harapanku padamu,

Aku pasrah dengan segala ketentuanmu,

Ku tahu tiap-tiap ketentuanmu pasti terselitnya pelbagai hikmah.

Ya Allah..

Berikanlah aku ketenangan, kesabaran, kejayaan, kebahagiaan,

Janganlah kau batasi kasih dan cintamu untuku ya Allah.

Biarlah ketakwaan, keimanan, kecintaanku pada yang berhak

Yang akan menghiasi setiap langkah perjalanan hidupku.

Diperbatasan waktuku mengimbau kembali setiap detik rasa hambarku padamu,

Akan kukikis segala yang tidak terindah di mata pandanganmu terhadapku ya Allah,

Hilang lenyap bersemadi lantaran tulus kasihmu dalam menerima sisa taubatku.

" Ya Allah, ya tuhanku terangilah hatiku dengan hidayahmu,

Ya Allah, ya tuhanku tetapkanlah hatiku dengan ketaatan kepadamu"

Agar aku diterima menjadi tetamu solehahmu di dunia baqa nanti.

AMIN..




Thursday, November 5, 2009

DEK DUNIA: SIA-SIA

Telah ALLAH bangkitkan di dalam hati setiap mukmin dan hati-hati yang lain dari kelalaian dan supaya sabat ( ditetapkan hati) dan bertaut hanya dengan ALLAH semata-mata, tiada yang selainnya dan dimana di kala itu ALLAH telah memerintahkan hamba-hambanya berhijrah dari dunia yang fana (nyata) kembali ke dunia yang asal yakni baqa (kekal selamanya).

Kemudaratan yang selalu sahaja mensia-siakan waktu yang ada di dunia ini adalah angan-angan. Manusia yang bernama insan selalu sahaja terjerat di dalam jenis rencah ini, mereka suka berpoya-poya, berpanjangan angannya membuat seseorang itu terleka dari mengingati rabbNYA, hanya sekadar mengharapkan benda yang belum tentu akan hadir.

Berangan-angan untuk memiliki segala isi dunia, berlumba-lumba mencari harta kekayaan yang entah sampai bila akan kekal lama.
Mereka juga merasakan bahawa dunia ini terlalu panjang usianya sehingga mana perasaan itu nmenguasai ,menyelubungi di segenap isi hati kerana mereka rasa bahagia , terpesona dengan segala kekayaan yang mereka miliki, harta, wanita, pangkat.



Mereka telah buta dengan apa yang mereka lihat, setiap buatan oleh tangan mereka sendiri, dan
mereka berbangga-bangga dengan segala-galanya.
Mereka asyik memikirkan dan terlampau endah terhadap urusan dunia siang, malam hingga mereka melupakan hal-hal akhirat.



Ingatlah bahawa semuanya adalah pinjaman dari ALLAH ,bila mana ALLAH mengatakan dan menyuruh malaikat untuk meruntuhkan dan memusnahkan segala apa yang ada disetiap penjuru muka bumi ini.

"Kunfayakun ! "

Maka musnahlah bumi ini dengan sekelip mata tanpa ada yang terpana melihatnya kerana semasa itu tiada lagi pertolongan dan hanya kecelakaan yang bakal diterima.


Gelap gulitalah dunia ,bukti dan kekuasaan dan kiamat pasti tersaji dan semasa itulah mereka sedar siapa yang lebih berkuasa, hilang sudah kuasa-kuasa yang ingin menakluki bumi yang tinggal hanyalah dedaunan orang-orangan yang akan menanti saat maut memanggilnya untuk kembali. Barulah mereka sedar bahawa selama ini mereka sering lalai dalam mentaati segala perintah dan larangan ALLAH. Hanya orang-orang yang beriman, bertaqwa, dan orang-orang yang soleh sahaja yang terselamat dan diberi nur rabbNYE, yang pastinya dirasai oleh mereka yang sering mengingati ALLAH.



Firman allah yang bermaksud :

" Kesudahan golongan Yang kufur ingkar itu apabila sampai ajal maut kepada salah seorang di antara mereka, berkatalah ia: "Wahai Tuhanku, kembalikanlah daku (hidup semula di dunia) "


(ayat 99: Surah Al-Mukminin)



Firman allah yang bermaksud :

"Supaya Aku mengerjakan amal-amal Yang soleh Dalam perkara-perkara Yang telah Aku tinggalkan". Tidak! Masakan dapat? Sesungguhnya perkataannya itu hanyalah kata-kata Yang ia sahaja Yang mengatakannya, sedang di hadapan mereka ada alam barzakh (yang mereka tinggal tetap padanya) hingga hari mereka dibangkitkan semula (pada hari kiamat)."


(ayat 100: Surah Al-Mukminin)


Firrman allah yang bermaksud pada surah yang lain:

"Janganlah Engkau menujukan pandanganmu (serta menaruh hati) kepada nikmat kesenangan Yang Kami berikan kepada beberapa golongan di antara mereka (yang kafir itu) dan janganlah Engkau merasa dukacita terhadap mereka (kerana mereka tidak beriman dan tidak dapat menguatkan Islam sebagaimana Yang Engkau harapkan); dan sebaliknya hendaklah Engkau merendah diri kepada orang-orang Yang beriman (sekalipun mereka dari golongan fakir miskin)."

(ayat 88: Surah Al-Hijr)



QAUL SALAFUL SOLEH (rahmatullah) :

"Sesiapa yang panjang angan-angannya maka buruklah amalnya"



Dengan itu kita perlulah beringat, disetiap masa dan ketika, kita tidak perlu khuatir tentang ajal hanya wajib bersedia dengan amal solehmu sehingga dihatimu berjanji untuk tidak sibuk dengan dunia, serta menjauhkan diri dari terus menjadi hamba abdi dunia. Ajal maut ditangan ALLAH dan bila-bila masa sahaja nyawa dan rohmu melayang dicantas olehNYA.
Moga kita tergolong didalam golongan orang-orang yang muqarrabin, yang telus,ikhlas mengingati ALLAH, dan moga rahmat ALLAH senantiasa berpanjangan dan menjadikan kita terlewat dengan dunia tetapi bukan bermaksud kita tidak mengenal dunia, seiringan, dunia yang kita kecapi bersama-sama dengan berlumba-lumba untuk amal ukhrowi.


S.A.W telah bersabda yang bermaksud :
"Bahawa beramal lah kamu dengan duniamu seolah-olah kamu tidak mati untuk selama-lamanya dan beramal lah kamu dengan akhiratmu seolah-olah kamu akan mati esoknya." (Rujukan : Al Salasilah Al Dhaifah- lil albani)

Wallahua'lam.










Wednesday, October 28, 2009

Menangislah...kerana takutkan ALLAH...


Menangis...
Menangislah dikau kerana kelalaianmu dari mengingati ALLAH...
Ingatkah kita pada dosa-dosa kita yang lalu,yang pernah kita lakukan tanpa kita sedar ALLAH senantiasa melihat segala apa yang telah kita lakukan,setiap diri kita berada di dalam gengamannya,setiap sedutan zarah udara yang menjamin nafas kita bertali arus darah menjalari ke tubuh,meski tiada sedar nikmat yang ALLAH bagi itu tidak ternilai ,subhanallah kuasa ALLAH yang menghidupkan serta mematikan tiap sesuatu yang diciptanya.
Haruslah kita senantiasa bersyukur dengan segala pemberiannya.
AL-RAHMANURAHIM...

Firman ALLAH yang bermaksud:
"Mereka itulah sebahagian dari Nabi-nabi Yang telah dikurniakan Allah nikmat Yang melimpah-limpah kepada mereka dari keturunan Nabi Adam, dan dari keturunan orang-orang Yang Kami bawa (dalam bahtera) bersama-sama Nabi Nuh, dan dari keturunan Nabi Ibrahim, dan (dari keturunan) Israil- dan mereka itu adalah dari orang-orang Yang Kami beri hidayah petunjuk dan Kami pilih. apabila dibacakan kepada mereka ayat-ayat (Allah) Ar-Rahman, mereka segera sujud serta menangis".

Surah Maryam:58



Kekhusyukan hati dalam seduan tangisan atas noda dan dosa yang telah lalu kerana takutkan ALLAH ,takut akan azab ALLAH.
Hadirlah dalam dirinya kecintaan ALLAH yang mana kecintaannya lebih dari segala-galanya,bila mana seseorang itu terpalit pada hatinya halawatul iman ,singkapan dari ketulusan taubatnya pada rabb-NYA.
"bagai -dunia ini milik berdua antara dia dan TUHAN-NYA"

Seperti bermadah pujangganya Sang sufiyyah- Rabia' Adawiyah dalam tangisannya di hening malam,kesayuan meratap hiba kerana takutnya pada ALLAH:

"Wahai Tuhanku! Apakah Engkau akan membakar dengan api hati yang mencintaiMu, dan
lisan yang menyebutmu,dan hamba yang takut kepadaMu ! "

Wahai sahabat-sahabat yang dirahmati ALLAH sekalian,

Muhasabahlah diri kita, dimanakah hati kita sekarang,
Adakah hati kita masih bersarang dengan sawangan noda ,tompokkan titik hitam yang akan kelamaanya parah menanah dihantui oleh nafsu-nafsu yang berkejar-kejar menambat kita supaya tiada nur hidayah yang dapat menembusi si hati yang mencari keredaan ilahi.
Terhijabnya hati kita ,kerana kurangnya taubat kita kepada ALLAH, terhijabnye doa juga adalah kerana kurangnya kita mengingati ALLAH, kita lemas dengan kemaksiatan ,kelalaian dalam ibadah kita.
Dimanakah keikhlasan nawaitu kita ketika tika kita menghadap TUHAN, ketika kita menunaikan solat.
Semuanya bermula dengan solat, hisablah diri kita bagaimana kita menjaga solat, sememangnya
"Solat solahal mukmin (senjata bagi orang mukmin), sebagai juga menghalangi kita dari membuat sebarang kemungkaran dan kemaksiatan.

Insafilah diri, sebelum terlambat, hisablah dirimu dengan segala gerak langkahmu,setiap detik yang berlalu dalam sedar atau tidak kita tersangkut ,terjerat dengan nafsu bayangan sendiri.
Janganlah membiarkan diri dari terus menjadi hamba nafsu mu, carilah mutiara ,kalam-kalam para solehin, dekatkan dirimu dengan majlis-majlis ilmu (raudah jannah) yang mana di payungi oleh malaikat-malaikat yang senantiasa mendoakanmu,sudikanlah hatimu mendengar setiap patah kata yang dituturkan oleh sahabatmu tika dirimu berada di tempat yang salah,
janganlah dikau pula yang senantiasa menghalang orang-orang yang ingin pergi ke majlis ilmu.
Celakalah bagi sesiapa yang menghalang orang-orang yang ingin mengamalkan sunnah nabi S.A.W.


SISIPAN KALAM SAHABAT BUAT RENUNGAN BERSAMA:
"Saidina Othman Ibnu Affan r.a. berkata"
Antara tanda-tanda orang yang bijaksana itu ialah:
· Hatinya selalu berniat suci
· Lidahnya selalu basah dengan zikrullah
· Kedua matanya menangis kerana penyesalan (terhadap dosa)
· Segala perkara dihadapainya dengan sabar dan tabah
· Mengutamakan kehidupan akhirat daripada kehidupan dunia.



Wallahua'lambisowab.....

Saturday, October 24, 2009

Dimana hatiku di kala ini...

Salam perkenalan kepada semua yang sudi meninjau-ninjau halaman blog ini.
Diharapkan kepada sahabat-sahabat yang tersayang untuk memberi dorongan agar niatku berterusan di dalam penulisan ini.

Ini adalah titik permulaan saya dalam menceburkan diri dalam dunia blogging ini.
Moga ia menjadi manfaat buat kita bersama dan peringatan buat diri saya juga terutamanya.
"Kerana mulut yang berbicara ini lebih dekat di telinga yang mendengarnya."
Tatkala jari jemari ini mula tersusun meniti membuahkan cetusan rasa diri untuk sama-sama berlumba -lumba dalam membuat secebis risalah yang mana ia boleh menjengah para mata hati untuk mencari diri ke arah menuju nur rabbani mencantas keluhan luahan nafsu yang selalu mencemburui diri insani yang ingin kan hatinya bersih dari di jamah,di lapah dengan dahsyatnya oleh nafsu amarah, nafsu lawammah.

Mari ayuh kita sahabat-sahabat, insafi diri yang mana kita semakin layu dalam mencari nur kasih ilahi. Walaupun kita mampu untuk meredah, mengembara dilautan nafsu mazmumah, namun kita sentiasa tersadung dengan pujian-pujian yang entah bila akan berhenti menghantui diri. Jika kita merasa diri ini terlalu tinggi...terlalu megah dengan apa yang kita miliki.

Ingatlah bahawa ianya bukan milik kita...
milik ALLAH...
kepadanya jualah kita kembali...

Walau diperbatasan waktu masih lagi ada sisa masa jangan kita persiakan setiap minit masa yang kita miliki, detik itu akan berlalu tanpa kita sedar ia kadang boleh membuahkan pahala atau dosa yang kita pernah perlakukan.